Cikgu Aizat : Cungkil bakat cilik seni teater di Sarawak

Cikgu Aizat Mohiden merupakan seorang guru di Sekolah Seni Malaysia Sarawak. Beliau yang berasal dari Kuching, Sarawak sering diundang untuk membuat bengkel teater di negeri ini. Saya sempat menemuramah beliau berkenaan kegiatan seni yang dia lakukan.

1. Apa yang membuatkan cikgu teruja mendidik seni teater pada pelajar sekolah yang bukan dari aliran sekolah seni?

Apa yang membuat saya teruja mendidik anak murid walaupun murid bukan aliran seni ialah anak murid menunjukkan rasa ingin tahu, berminat dan memberi sambutan yang positif dengan setiap pembelaran asas dalam Seni Teater. Program dan bengkel dalam penggalakan seni  seharusnya diteruskan bagi setiap sekolah kerana ianya dapat menggalak minat murid seawal sekolah rendah khususnya mengenali dan mengetahui asas dalam seni teater.

2. Apakah kepentingan teater pada pelajar sekolah dalam membina karektor?

Salah satu harapan dalam mempromosikan ilmu seni teater contohnya melalui bengkel pada peringkat mulanya iaitu sekolah rendah ialah dapat dilihat sebenarnya dalam membantu memupuk sifat berani dan yakin pada karektor diri sendiri. Selain itu, kepentingan mempelajari seni teater iaitu dapat memupuk potensi dan kebolehan anak-anak serta dapat melihat bakat anak-anak yang boleh digilap melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Melalui kepentingan ini, ianya dapat menyumbang ke arah potensi anak-anak dalam meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan diri dan membentuk konsep kendiri yang positif pada diri anak-anak. 
3. Berapa lama bengkel yang cikgu buat. Mengikut session?

Bengkel dalam seni teater yang sesuai diadakan ialah anggaran selama dua hari atau lebih daripada dua hari. Dalam masa yang diperuntukkan ini dapat menghasilkan kualiti yang menarik pada persembahan penutup bengkel. Sebagai contohnya, bengkel pada hari pertama bermula dengan sesi pendaftaran dan ice breaking. Hari pertama juga boleh memberi fokus kepada sesi kenalan dan pengenalan kepada asas lakon. Manakala sebelah petang pada hari pertama akan memberi fokus kepada latihan konsep asas lakonan, latihan olah tubuh dan latihan asas vokal pelakon serta dikaitkan dengan aktiviti dan permainan dalam teater. Manakala, hari kedua pula akan nemberi fokus kepada mengenali asas ciri dialog pelakon yang baik, latihan pengucapan nada mengikut dialog, latihan ekspresi wajah mengikut emosi, asas improvisasi dan sebagainya. Pada sebelah petang hari kedua akan menjurus kepada aktiviti dan latihan praktikal secara berkumpulan untuk persediaan persiapan majlis penutup bengkel.

MAKLUMAT TENTANG BENGKEL TEATER KANAK-KANAK CIKGU AIZAT

1. Teknik pembelajaran?

Melalui Bengkel Teater Kanak-Kanak, saya mengaplikasikan teknik penerangan dan teknik didik hibur (bercerita). Melalui teknik penerangan ianya merangkumi satu teknik pengajaran dalam proses menceritakan, menjelaskan, menggambarkan dan memindahkan sesuatu perkara yang diketahui kepada peserta bengkel. Sebagai contohnya, peserta bengkel cuba menjawab soalan yang ditanya oleh saya secara lisan mengikut kefahaman mereka sendiri sebelum saya menerangkan topik pembelajaran dengan lebih mendalam. Saya juga meminta peserta bengkel untuk menjawab soalan yang ditanya dengan suara yang kuat dan mengaitkan jawapan peserta bengkel dengan tajuk topik pembelajaran dan aktiviti permainan teater.

Selain itu juga, saya mengaplikasikan teknik didik hibur iaitu (bercerita). Melalui Bengkel Teater Kanak-Kanak ini, saya mengaplikasikan teknik bercerita dalam mengajar sambil memberi contoh kepada setiap aktiviti dan topik pembelajaran yang sesuai. Teknik didik hibur (bercerita) ini juga membantu kanak-kanak dalam memahami apa yang disampaikan dengan seronok. Teknik ini sangat sesuai dilakukan dalam Bengkel Teater Kanak-Kanak ini kerana setiap anak-anak akan berminat dengan komponen asas dalam didik hibur contohnya saya mengaplikasikan pembelajaran yang mengaitkan penceritaan, lakonan, nyanyian dan puisi. Teknik pembelaran ini bersifat santai dan berhibur secara sistematik dan terancang.
2. Lingkungan umur anak-anak ?
Lingkungan umur sekolah rendah (Darjah 2-6 tahun)

3. Cabaran?
Pada hari permulaan bengkel, cabaran melatih kanak-kanak memang sukar, tetapi latihan demi latihan yang berfokuskan kepada asas lakonan akhirnya sepanjang Bengkel Teater Kanak-Kanak ini membawa kesan yang baik dalam diri peserta. Saya melihat perubahan yang positif kanak-kanak contohnya dari takut kepada berani, pertuturan yang jelas, peka pada arahan dan kemahiran kepimpinan mula menyerlah.

4. Harapan?
Tak kenal maka tak cinta, begitulah persamaan antara manusia dan seni. Sekiranya tidak pernah berkeinginan mengenal indahnya erti seni, pasti tidak akan timbul rasa cinta dan menghargai karya seni. Justeru, menghargai setiap hasil kesenian itu, ianya harus dipupuk sejak usia kanak-kanak supaya nilai dalam karya seni tidak pupus ditelan zaman. Harapan saya, semoga program bengkel seperti ini akan terus diadakan khususnya untuk kanak kanak di sekitar Kuching. Peluang ini seharusnya wajar diberikan kepada kanak-kanak untuk belajar dalam menikmati hasil seni tanpa mengira latar belakang.

5. Cadangan untuk tingkatkan potensi anak-anak dlm bidang lakonan?
Antara cadangan untuk meningkatkan potensi anak-anak dalam bidang lakonan ialah sebagai ibu bapa haruslah memberi sorakan dan sokongan untuk anak-anak. Setiap anak yang mempunyai kebolehan khususnya dalam seni haruslah diberi perhatian dan sokongan. Dengan memupuk minat kanak-kanak ianya boleh membantu anak-anak berkembang dan membesar menjadi seorang yang sihat dan serba boleh. 

Antara cadangan untuk meningkatkan potensi anak-anak dalam bidang seni lakon ialah dapat meningkatkan kemahiran kanak-kanak yang boleh diasah contohnya dalam lakonan teater atau drama. Potensi kanak-kanak dapat diukur melalui keyakinan, bahasa dan kemahiran pengucapan awam sepanjang dalam bengkel ini. Hasil dapatan melalui bengkel ini, ianya menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlibat dalam bengkel ini mempunyai kemahiran yang boleh diasah lebih baik serta mempunyai harga diri dan keyakinan yang lebih tinggi.

Catat Ulasan

0 Ulasan